Thursday, December 11, 2003

KUALA LUMPUR 10 Dis. - Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun mati dengan kepalanya terputus selepas dilanggar sebuah lori yang dipandu laju dan dipercayai hilang kawalan di Lorong Kampung Benteng, Kampung Sungai Udang, Segambut di sini hari ini.

Mohd. Aizat Ahmad, pelajar tahun dua Sekolah Kebangsaan Segambut sedang berjalan kaki pulang ke rumahnya selepas menghadiri kelas tambahan di pusat tuisyen berdekatan ketika kejadian itu berlaku pada kira-kira pukul 12.50 tengah hari.

Jurucakap Polis Trafik Tun H.S. Lee berkata, ketika tiba di bahu jalan itu, sebuah lori yang dipandu secara laju dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh mangsa.

Katanya, mayat Mohd. Aizat terperosok ke bahagian bawah lori terbabit yang sarat dengan muatan besi buruk.

``Mayat mangsa dijumpai dalam keadaan ngeri iaitu terputus kepala manakala buku-buku sekolahnya bertaburan di tengah jalan,'' katanya ketika dihubungi di sini.

Jurucakap itu berkata, pemandu lori yang bernombor pendaftaran BEC 2551 itu dipercayai telah melarikan diri sejurus selepas kemalangan tersebut berlaku.

Tambahnya, mayat Mohd Aizat kemudiannya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee, Cif Inspektor Nor Hisham Hashim di talian 03-20729044.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri